KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Operasi bersepadu besar-besaran fasa kedua bagi mengesan pendatang tanpa izin akan dilancarkan di bahagian pantai timur Sabah Januari depan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman.
Beliau yang juga ketua operasi bersepadu itu berkata operasi secara berperingkat itu akan meliputi semua daerah di kawasan berkenaan.
Fasa pertama operasi yang dilancar secara rasmi 7 Ogos lepas, tertumpu di kawasan barat negeri ini, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa keselamatan yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Wisma Innoprise, di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 30 siri operasi termasuk operasi ulangan dijalankan yang menyaksikan 29,575 orang diperiksa di kawasan sasaran termasuk kampung, kawasan setinggan dan tapak pembinaan.
Sukarti berkata daripada jumlah itu, 2,935 orang pendatang tanpa izin ditangkap kerana tidak memiliki dokumen yang sah.
"Setakat ini, kita telah membelanjakan sekitar RM2.4 juta bagi membiayai operasi bersepadu di kawasan pantai barat dan kita menjangka akan membelanjakan jumlah yang serupa untuk pantai timur," katanya.
Mengenai program pendaftaran buruh asing yang berakhir pada 31 Okt lepas, Sukarti berkata seramai 312,837 buruh asing telah mendaftar dengan Jabatan Imigresen untuk membolehkan mereka bekerja di negeri ini.
Sukarti berkata Jabatan Pendaftaran Negara menerima 17,000 permohonan untuk mendapatkan MyKad hijau yang diberi kepada pemegang sijil kelahiran Malaysia (stateless) dan pemegang Mykad hijau sedia ada.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,272 telah didaftar tetapi kelulusan hanya diberi selepas proses penapisan.-- BERNAMA

Tiada ulasan:
Catat Ulasan