KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Seramai 82,704 orang dilaporkan menghidap penyakit HIV di Malaysia sejak kes pertama dikesan di negara ini pada 1986, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penyelaras PBB di Malaysia, Kamal Malhotra, berkata Malaysia ketika ini menghadapi halangan untuk mencapai Sasaran Pembangunan Milenium (MDG) PBB dalam membasmi virus HIV/AIDS.
"Setakat Jun 2008, jumlah orang yang menghidap HIV sejak 1986 telah mencecah 82,704 orang. Kami menghadapi epidemik tertumpu dengan satu hingga lima peratus populasi tertentu menghidap virus itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Red Carnival anjuran Yayasan PT di Sungai Wang Plaza Sabtu.
"Selaras dengan garis panduan PBB, Malaysia perlu menumpukan usaha terhadap lima kumpulan berisiko tinggi pengguna dadah, pekerja sex, transeksual, homoseksual dan pekerja asing," kata Malhotra.
Menurut laman web Program Pembangunan PBB (UNDP) Malaysia, pada tahun 2000, lima peratus jumlah populasi dilaporkan dijangkiti HIV/AIDS dan jumlah tersebut meningkat kepada lapan peratus jumlah populasi pada 2006.
Malhotra percaya salah satu kaedah terbaik untuk mencegah penularan wabak HIV adalah menerusi pendidikan dan pemahaman virus itu sendiri.
Red Carnival, yang ditaja oleh CIMB Bank dan PBB Malaysia serta disokong Kementerian Kesihatan dan Majlis Aids Malaysia, bertujuan untuk menggalakkan remaja Malaysia supaya sedar mengenai penyakit ini, dan seterusnya mengikis stigma dan menghapus diskriminasi terhadap pembawa virus HIV positif. (BERNAMA

0 ulasan:
Catat Ulasan