MOGADISHU - Sebuah kapal perang tentera laut India berjaya memusnahkan sebuah kapal lanun di Teluk Aden, Somalia, kelmarin.
Walaupun dengan kehadiran sejumlah besar tentera laut asing di perairan tersebut, kumpulan lanun di Somalia telah merampas dua buah kapal lagi.
Kumpulan lanun tersebut merampas sebuah bot nelayan dari Thailand, sebuah kapal pengangkut dari Greece dan sebuah kapal Hong Kong yang dalam perjalanan ke Iran.
Rampasan tersebut berlaku selepas kumpulan lanun merampas sebuah kapal tangki dari Arab Saudi yang membawa minyak mentah bernilai AS$100 (RM361 juta) pada Sabtu lalu.
Kejadian rampasan kapal tangki tersebut mengejutkan dunia kerana ia merupakan kapal terbesar dalam sejarah yang pernah ditawan.
Tentera laut India berkata, sebuah kapal perangnya, INS Tabar yang berada di Teluk Aden itu berjaya memusnahkan sebuah kapal milik kumpulan lanun selepas berlaku satu pertempuran pada lewat kelmarin.
"Kapal lanun itu terbakar dan letupan juga kedengaran kemungkinan berpunca daripada letupan peluru yang disimpan," katanya.
Biro Maritim Antarabangsa memberitahu bahawa kumpulan lanun dari Afrika telah menawan sebuah bot nelayan dari Thailand yang membawa 16 anak kapal.
Kejadian itu diikuti dengan penawanan sebuah lagi kapal dengan muatan bijirin dari Hong Kong yang dalam perjalanan ke Iran.
Sebuah kapal pengangkut dari Greece juga dilaporkan dirampas tetapi seorang pegawai di Kementerian Perdagangan Marin Greece menafikan perkara itu berlaku.
Kegiatan lanun yang semakin menjadi-jadi di perairan Somalia pada tahu ini mengakibatkan kos insurans dan kos operesi meningkat kerana sebilangan syarikat perkapalan mengambil keputusan untuk memesongkan laluan.
Kejadian itu juga menyebabkan beberapa buah negara termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menghantar kapal perang di Teluk Aden bagi memerangi lanun. (akhbar Kosmo)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan