LIMA: Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) menggulung sidang kemuncak tahunan mereka di sini sambil melahirkan keyakinan dapat menangani krisis ekonomi global yang melumpuhkan di dalam tempoh 18 bulan.
“Secara umumnya, semua bersetuju bahawa 2009 akan menjadi tahun yang sukar bagi ekonomi global tetapi dalam 2010, kami menjangka melihat sedikit tanda awal pemulihan dan diharapkan ia akan berada atas landasan (ke arah pemulihan),” kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak Ahad.
“Adalah melegakan apabila pemimpin Apec menunjukkan kepimpinan yang positif untuk menangani krisis kewangan global sekarang ini dengan memberikan komitmen untuk melaksanakan perdagangan yang bebas dan terbuka dan untuk memuktamadkan perundingan perdagangan global Pusingan Doha menjelang Disember,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas berakhir sidang kemuncak dua hari itu. (Akhbar Harian Metro)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan