PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan empat langkah menambah baik sektor perkhidmatan awam, termasuk membenarkan mereka yang sebelum ini memilih mengikuti skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menyertai skim pencen, mulai tahun depan.
Tiga langkah lain ialah memberi bayaran ex-gratia kepada ibu bapa anggota sektor awam bujang yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, membuat menambah baik skim pegawai hingga pembantu siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) serta pegawai kanan hingga konstabel polis.
Tambahan 20 peratus atas kadar kenaikan gaji turut diumumkan untuk pegawai dan anggota lain-lain pangkat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana mempunyai persamaan fungsi dan tugas dengan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perdana Menteri berkata, semua langkah itu yang sudah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja Sektor Awam baru-baru ini, akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009.
Mengenai penukaran skim KWSP kepada skim pencen, Abdullah berkata, keputusan dibuat itu akan memberikan manfaat kepada kira-kira 40,000 anggota sektor awam yang pada masa ini memilih menyertai skim KWSP.
“Tempoh pilihan bermula sebulan mulai 1 Januari hingga 31 Januari dan tarikh kuat kuasanya pula ialah mulai 1 Februari depan. (Berita Harian)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan